Ammonium Nitrat dan Letupan di Beirut

 

Kita telah dikejutkan dengan satu tragedi letupan besar di Beirut, Lubnan pada hari Selasa yang lepas. Sebanyak 220 kematian, 7000 orang tercedera dan 300000 penduduk hilang tempat tinggal berikutan tragedi tersebut. Dan ianya merupakan antara letupan ammonium nitrat terbesar yang telah direkodkan.

 

Letupan tersebut boleh didengari sehingga jarak 150km dari Cyprus. Kalau di Malaysia, jaraknya lebih kurang dari Kuala Lumpur ke Melaka. Betapa besarnya letupan tersebut! Letupan ammonium nitrat dalam jumlah sedikit sudah cukup untuk menghasilkan letupan apatah lagi jika sejumlah 2750 ton yang meletup.

 

Menurut Perdana Menteri Lubnan, siasatan awal mendapati letupan tersebut berpunca dari ammonium nitrat yang disimpan di gudang di pelabuhan Beirut. Ammonium nitrat yang disimpan di dalam gudang secara padat serta tidak mematuhi piawaian keselamatan yang betul merupakan antara puncanya. Namun, letupan yang berlaku di Beirut tidak mungkin berlaku disebabkan oleh satu faktor sahaja.

 

Apa itu ammonium nitrat?

 

ammonium nitrat

 

Ammonium nitrat ialah sejenis bahan kristal tanpa bau yang kebiasaannya digunakan sebagai baja dalam industri pertanian . Ammonium nitrat meningkatkan kandungan ammonia dalam baja yang berfungsi untuk meningkatkan protein dalam tumbuhan. Kompaun ini stabil dan secara dasarnya tidak berbahaya dan mudah dihasilkan melalui campuran ammonia dan asid nitrik. Kos untuk menghasilkannya juga agak murah.

 

Namun disebalik kegunaannya sebagai baja, ammonium nitrat merupakan bahan yang mudah terbakar kerana ciri-cirinya sebagai bahan pengoksidaan. Ia meningkatkan proses pembakaran dengan meningkatkan jumlah oksigen melalui proses decomposition yang menghasilkan nitrogen, wap air dan oksigen.

 

Bagaimana letupan ammonium nitrat berlaku?

 

Seperti yang kita tahu, segi tiga kebakaran merangkumi oksigen, haba dan bahan bakar. Oleh itu, peningkatan oksigen dari ammonium nitrat akan meningkatkan kebakaran.  Selain itu, ammonium nitrat juga boleh menjadi bahan letupan jika dicampurkan dengan diesel mengikut nisbah tertentu dikenali sebagai bahan letupan komersial atau Ammonium Nitrate Fuel Oil (ANFO). Ia turut digunakan oleh kumpulan pengganas seperti Taliban untuk membuat bahan letupan sendiri!

 

Berbalik kepada letupan yang berlaku di Beirut, ia tidak mungkin meletup dengan sendirinya kerana letupan ammonium nitrat hanya berlaku jika suhu mencecah 400°F iaitu 204°C. Namun, jika terdapat bahan lain yang bertindak sebagai bahan api, maka ammonium nitrat akan menjadi faktor yang mencetuskan kebakaran dengan menghasilkan oksigen.

 

Seolah-olah domino effect, kebakaran akan tercetus dan merebak, suhu makin meningkat dan seterusnya – letupan yang besar.

 

Menurut sumber, memang ada kebakaran besar di gudang yang menyimpan ammonium nitrat tersebut sebelum letupan besar berlaku. Menurut Jimmie Oxley, seorang ahli kimia dari University of Rhode Island, keadaan gudang tersebut yang diperbuat dari bahan tinggi karbon, bergabung dengan kompaun ammonium  nitrat menghasilkan tenaga yang lebih kuat.

 

Selain itu, ammonium nitrat yang disusun secara padat menyebabkan haba disimpan dengan lebih lama semasa terbakar menyebabkan letupan. Seperti yang kita tahu, apabila bahan pengoksidaan yang cukup ditambah ke dalam api, BOOM letupan akan berlaku.

 

Ciri-ciri bentuk dan warna asap letupan ammonium nitrat

 

beirut explosion

 

Kalau kita lihat rakaman letupan di Beirut, kepulan asap berbentuk cendawan dihasilkan. Pakar menyifatkan ciri ini sebagai letupan ammonium nitrat. Warna asap pula bermula dengan warna putih-kelabu diikuti asap coklat kemerahan yang besar dengan bentuk ‘cendawan’ mengesahkan lagi ciri-ciri letupan ammonium nitrat.

 

“Ini menunjukkan bahawa gas yang dikeluarkan adalah asap ammonium nitrat putih, toksik, nitrat oksida merah / coklat dan air”, kata Stewart Walker, dari bahagian Forensik, Alam Sekitar dan Kimia Analitik dari Flinders University.

 

Kejadian yang berlaku sememangnya menimbulkan pilu di dalam hati sesiapa yang mendengarnya. Bagi penduduk Beirut, tragedi ini pasti meninggalkan trauma dan parut yang kekal di dalam ingatan mereka. Mereka kehilangan insan yang tersayang, tiada tempat tinggal dan masalah ekonomi yang sedia tidak stabil juga semakin runtuh.

 

Kita hanya mampu mendoakan dan memberi bantuan yang termampu kepada mereka. Apa yang penting, iktibar dari kejadiaan ini harus diambil. keselamatan kebakaran terutamanya terhdapa bahan-bahan yang berbahaya atau mudah meletup perlu diberi perhatian yang tinggi.

 

Sekiranya anda mempunyai persoalan atau memerlukan khidmat nasihat dalam pengurusan keselamatan kebakaran atau apa-apa isu dalam keselamatan kebakaran, kami di AITO Firework sedia membantu. Hubungi kami di 03 – 7831 4791 atau WhatsApp.  Anda juga boleh menghantar email kepada kami melalui [email protected] atau [email protected]

 

 

Pin It on Pinterest

Share This