Kelengkapan Keselamatan Kebakaran Mengikut Piawaian Bomba

Setiap projek yang diusulkan haruslah mendapat kelulusan BOMBA bagi memastikan keperluan kelengkapan keselamatan kebakaran terjamin.

Yang pertama, pastikan buah pili bomba jenis tiang pengeluaran dua hala dengan pengeluaran air sebanyak 1000 liter seminit bagi setiap pili bomba sepertimana yang ditandakan didalam pelan.

Pili bomba awam (tidak bermeter) hendaklah dicat dengan warna ‘signal red’ manakala pili bomba swasta (bermeter) dicat dengan warna kuning. (Kod cat : MS 164:1992 dan MS 1932:1996 – Specification for pillar hydrant: 5 Coating).

Yang kedua, pastikan buah pili bomba jenis tiang pengeluaran dua hala dengan pengeluaran air sebanyak 1500 liter seminit bagi setiap pili bomba dan 3000/4500 lit/min apabila 2/3 buah pili bomba dibuka serentak (pressurized hydrant).

2 talian hos berukuran  64mm x 30 meter dan sebatang nozel dari jenis ‘jet & spray’ perlu ada dan ditempatkan di dalam peti kabinet berhampiran dengan tiap-tiap pili bomba.

Pili bomba sediada hendaklah dalam jarak 91.5 meter dari bangunan cadangan dan berada dalam keadaan baik.

Sila pastikan juga jalan akses perkakas bomba (access road) dengan kelebaran tidak kurang 6 meter yang boleh menanggung beban 25 tan sepertimana yang ditandakan didalam pelan dan tulisan perkataan berwarna kuning ”LALUAN JENTERA BOMBA – KOSONGKAN LALUAN’ di atas jalan akses perkakas bomba dan  papan tanda ”LALUAN JENTERA BOMBA – KOSONGKAN LALUAN’ bersebelahan akses perkakas bomba mengikut spesifikasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (bagi bangunan komersial sahaja).

Antara yang lain adalah untuk memastikan Pondok kawalan berpalang pada jalan masuk utama akses perkakas bomba hendaklah mematuhi spesifikasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, kecerunan jalan akses perkakas bomba hendaklah tidak kurang 1 : 12, ketinggian kelegaan hendaklah tidak kurang daripada 5 meter dan jarak antara bangunan hendaklah mematuhi Jadual Ke Enam UUKBS 1984.

Selain itu terdapat kehendak am, kehendak pasif dan kehendak aktif yang perlu juga dipatuhi bagi mendapat kelulusan projek. Ini adalah kehendak am yang perlu dipatuhi;

  • Semua pendawaian elektrik bagi sistem kecemasan hendaklah dalam konduit logam atau daripada kabel yang mempunyai penebatan mineral tahan api. Pemasangannya hendaklah sepanjang kawasan yang paling kurang risiko kebakarannya dan mematuhi UUK 253(4), UUKBS 1984.
  • Semua elemen struktur hendaklah mempunyai tempoh ketahanan api mengikut Jadual Kesembilan, UUKBS 1984.
  • Pastikan sistem pengudaraan bagi tangga keselamatan sama ada secara biasa atau mekanikal.
  • Penggunaan gas petroleum cecair (L.P.G) secara `bulk storage’ hendaklah mematuhi syarat-syarat penentuan Piawaian Malaysia MS 830 dan MS 930. Sila kemukakan pelan yang lengkap ke Jabatan ini.
  • Bagi bangunan yang melebihi 30 meter, semua tangga yang dicadang untuk digunakan sebagai jalan keluar hendaklah dilanjutkan ke paras bumbung untuk memberi akses kepadanya mengikut UUK 195, UUKBS 1984.
  • Semua papan tanda keselamatan kebakaran hendaklah mematuhi Piawaian Malaysia MS 982.
  • Adakan `graphic design of floor plan’ berlatarbelakang warna putih yang menunjukkan tangga keselamatan, laluan-laluan keselamatan, jalan-jalan keluar dan kedudukan alat-alat pencegah kebakaran. Penempatannya hendaklah ditempat yang mudah dilihat.

Kehendak pasif:

  • Penggunaan siling bangunan hendaklah menepati kehendak-kehendak UUKBS 1984 Jadual Kelapan.
  • Semua tangga keselamatan hendaklah dikepung dengan tembok batu bata setebal 100mm atau bagi tangga jenis terbuka mematuhi UUKBS 1984.
  • Adakan pintu api satu jam sepertimana yang ditandakan di dalam pelan. Pemasangannya hendaklah tertutup sendiri dan tertutup rapat.
  • Adakan dinding pemetakan (compartment wall) setebal 100mm / 200mm batu-bata yang dibina sehingga paras bumbung/ lantai sepertimana yang ditandakan di dalam pelan.
  • Dinding bagi bilik setor yang disifatkan merbahaya hendaklah setebal 100mm batu- bata dan pintunya dari jenis ketahanan api satu jam dipasang dengan `door closer’.
  • Adakan ‘break point’ pada dinding luar bangunan untuk tujuan memudahkan anggota bomba menjalankan kerja-kerja operasi.
  • Adakan bidai gulung [roller shutter] ketahanan api 2 jam / 4 jam seperti tertanda di dalam pelan.
  • Penggunaan kaca-kaca pada dinding luar bangunan hendaklah dari jenis yang dibenarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
  • Semua lubong perkhidmatan (service shaft)  hendaklah ditutup disetiap tingkat dengan bahan ketahanan api dua jam.
  • Semua bilik bagi penempatan pam bomba dan janakuasa hendaklah dibina dari tembok batu-bata ketahanan api dua jam. Pintu-pintunya hendaklah ketahanan api satu jam.
  • Dinding dua pihak hendaklah dari jenis batu-bata setebal 200mm jenis yang menanggung beban dan 100mm yang tidak menanggung beban. Dinding ini hendaklah dinaikkan 225 mm melebihi paras bumbung atau mematuhi rekabentuk yang dipersetujui oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
  • Semua dinding pembahagi dalaman hendaklah dari jenis ketahanan api ½ jam dan dari jenis yang diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
  • Dinding pengasing antara kilang dan pejabat hendaklah setebal 100mm / 200mm dan dinaikkan hingga ke paras bumbung seperti tertanda di dalam pelan.
  • Adakan dinding pembalik (deflector wall) pada dinding yang mengepung tangga tunggal di pintu masuk utama sepanjang 450mm sepertimana yang ditandakan di dalam pelan.
  • Ruangan lobi lif hendaklah dibina dari bahan ketahanan api dua jam dan dilindungi dengan alat pengesan asap mengikut UUKBS.
  • Adakan sebuah pusat pemerintahan dan kawalan kebakaran di lantai tetuan (designated floor) yang dilengkapi dengan peti penggera kebakaran bagi bangunan melebihi 30.5 meter tinggi.

Kehendak aktif:

  • Adakan sistem penyembur air automatik mengikut Piawaian Malaysia MS 1910 dan peruntukan dalam UUKBS
  • Adakan sistem pancur basah mengikut Piawaian Malaysia MS 1489 : Part 1 dan peruntukan dalam UUKBS
  • Adakan sistem pancur kering mengikut Piawaian Malaysia MS 1489 : Part 1 dan peruntukan dalam UUKBS
  • Adakan sistem pancur menurun mengikut peruntukan dalam UUKBS
  • Pastikan unit saluran bantu mula mengikut Piawaian Malaysia MS 1489 : Part 1 dan peruntukan dalam UUKBS
  • Pastikan unit penggera kebakaran jenis pecah kaca mengikut Piawaian Malaysia MS 1745 : Part 14 dan peruntukan dalam UUKBS
  • Adakan sistem pengesan haba / asap mengikut Piawaian Malaysia MS 1745 : Part 14 dan peruntukan dalam UUKBS
  • Adakan lampu tanda `KELUAR’ kecemasan mengikut Piawaian Malaysia MS 985 dan dari jenis yang diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
  • Adakan lampu kecemasan yang menggunakan dua kuasa karan sepertimana yang ditandakan di dalam pelan. Lampu-lampu tersebut hendaklah dari jenis yang diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
  • Pastikan unit alat pemadam api mudahalih yang bersesuaian mengikut Piawaian Malaysia MS 1539: Part 3.
  • Adakan sistem pengurusan asap mengikut Piawaian Malaysia MS 1780 atau mana-mana penentuan yang dibenarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
  • Adakan sistem isitekan (pressurization system) mengikut Piawaian Malaysia MS 1472 dan peruntukan dalam UUKBS
  • Adakan sistem pemasangan tetap gas mengikut Piawaian Malaysia berkaitan atau mana-mana penentuan yang dibenarkan  oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
  • Adakan lif bomba sepertimana yang ditandakan di dalam pelan mengikut Piawaian Malaysia MS 1183 : Part 5 dan peruntukan dalam UUKBS 1984.
  • Adakan sistem siaraya awam (public address system) mengikut peruntukan UUK 239, UUKBS
  • Adakan sistem komunikasi bomba (telefon bomba) dimana sistem komunikasinya hendaklah tiga hala dan penempatannya di dalam tangga keselamatan / lobi menentang kebakaran, bilik motor lif, bilik pam bomba dan bilik janakuasa.
  • Saluran pendingin hawa hendaklah dipasang dengan sesekat api (fire damper) mengikut Piawaian Malaysia MS 555 dan dari jenis yang diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
  • Adakan suis pengasingan elektrik (electrical isolation switch) yang membolehkan pemotongan bekalan kuasa elektrik ke tingkat atau zon berkenaan yang menggunakannya.
  • Adakan sistem talian terus amaran kebakaran ke balai bomba terdekat dan pemasangannya hendaklah mematuhi syarat-syarat penentuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
  • Adakan sistem busa [foam system] mengikut syarat-syarat penentuan NFPA atau mana-mana penentuan yang dibenarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.
  • Adakan alat pengesan asap jenis kuasa tersendiri [self contained type smoke detector] mengikut syarat-syarat penentuan NFPA atau mana-mana penentuan yang dibenarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Segala syarat-syarat yang dikemukakan adalah tertakluk kepada rekabentuk dan kegunaan serta lokasi bangunan tersebut.

Sekiranya sebarang perubahan yang dilakukan ke atas rekabentuk atau kegunaannya seperti yang dicatatkan di atas pelan maka hendaklah dirujuk ke Jabatan ini untuk dikaji semula.

Pin It on Pinterest

Share This