Alat Pengesan Asap
Sumber dari : Malaysia Kini
Lima minit pertama ketika kebakaran berlaku adalah waktu yang sangat kritikal. Saat ini dapat menyelamatkan nyawa seseorang daripada terperangkap. Terutamanya, jika kediaman mereka dilengkapi dengan alat pengesan asap.
Sebagai contoh, pada 5 Februari 2013, empat beranak—seorang ibu berusia 50-an bersama tiga anaknya yang berumur antara 16 hingga 23 tahun—ditemui rentung dalam kebakaran rumah mereka di Taman Bukit Medan, Sungai Siput. Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman, karbon monoksida yang terhasil semasa kebakaran boleh membuat penghuni tidak sedarkan diri. Ini kerana tiada amaran awal untuk mengejutkan mereka dari tidur.
“Kebanyakan kematian akibat kebakaran di rumah berlaku kerana penghuni tidak menyedari berlakunya kebakaran,” katanya kepada Bernama. Selain itu, Khiruddin menjelaskan bahawa, menurut kajian, dalam tempoh lima minit pertama, mangsa perlu segera keluar dari kawasan tersebut. Hal ini kerana, pada masa itu tahap oksigen akan menurun kepada 16 peratus. Dalam masa 30 saat hingga satu minit, toksin gas yang terbentuk boleh menyebabkan mangsa pengsan. Gas ini diserap melalui pernafasan dan terus ke otak, mengakibatkan kegagalan otak berfungsi dan sesak nafas.
Berdasarkan laporan forensik hospital, kebanyakan mangsa yang mati adalah disebabkan sesak nafas akibat terhidu asap. Walaupun api mengambil masa untuk membakar bahan di dalam rumah, asap berkumpul dengan cepat kerana terperangkap di dalam bangunan.
Khiruddin menambahkan bahawa kajian menunjukkan peluang untuk menyelamatkan diri adalah 50% lebih tinggi jika alat pengesan asap dipasang berbanding rumah yang tidak memilikinya. Meskipun pihak bomba belum mewajibkan penggunaan alat pengesan asap di rumah persendirian, masyarakat perlu sedar bahawa alat ini memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa.
Related: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia – Fire Safety Guidelines
Related: Smoke and Heat Detector