FAQ

1. Apa perbezaan kelas-kelas kebakaran dan alat pemadam api apa yang sesuai?

KELAS A
Pepejal berkarbon dan bahan berbara seperti kayu, kain, plastik dan kertas.

JENIS PEMADAM API – Air, serbuk kering, cecair meruap dan bahan berbuih.

KELAS B
Cecair dan cecair beku mudah terbakar seperti petrol, diesel, gris, kerosin, cat, varnis, plastik dan pepejal mudah cair.

JENIS PEMADAM API – Bahan berbuih, serbuk kering, gas karbon dioksida dan bahan kimia basah.

KELAS C
Gas mudah terbakar seperti asitilen, metana, butana, propane, gas petroleum cecair, hidrogen dan gas asli.

JENIS PEMADAM API – Serbuk kering, gas karbon dioksida dan bahan kimia basah.

KELAS D
Logam mudah terbakar seperti uranium, potasium, zink, kalsium, natrium, magnesium, lithium, dan aluminium.

JENIS PEMADAM API – Serbuk kering khas.

KELAS E
Kebakaran memusnahkan penebat elektrik dan risiko akibat kejutan elektrik seperti kebakaran alat atau kelengkapan berkuasa elektrik dan pendawaian hidup.

JENIS PEMADAM API – Serbuk kering, cecair meruap dan gas karbon dioksida.

KELAS F
Minyak masak dan lemak di dapur, dan kelengkapan memasak makanan.

JENIS PEMADAM API – Bahan kimia basah.

2. Apakah itu Perakuan Bomba (Fire Certificate)?
Semua premis perlu diperiksa oleh pasukan pemeriksa Jabatan Bomba. Terdapat kategori-kategori bangunan tertentu yang mempunyai risiko bahaya kebakaran yang tinggi atau mempunyai risiko khusus yang memerlukan perhatian khusus. Dibawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988, Ketua Pengarah mempunyai kuasa menentukan dan mengeluarkan perakuan ke atasnya. Peruntukan perakuan bomba adalah menurut Bahagian V (Seksyen 27 hingga 36) Akta Perkhidmatan Bomba 1988. Perakuan Bomba adalah dokumen berbentuk sijil yang dikeluarkan kepada mana-mana premis Ditetapkan yang melepasi pemeriksaan berdasarkan kepada keperluan iaitu Pepasangan Keselamatan Kebakaran yang mencukupi dan berkeadaan baik semasa diperiksa.

3. Apakah Premis Ditetapkan?
Menurut tafsiran seksyen 2, “premis ditetapkan” adalah premis yang penggunaan saiz, atau tempatnya telah ditetapkan dibawah seksyen 27 bagi mengeluarkan perakuan bomba. Melalui peruntukan ini, Ketua Pengarah diberikan kuasa dibawah akta bagi menetapkan Premis Ditetapkan. Satu perundangan perwakilan dikeluarkan iaitu Perintah Perkhidmatan Bomba 1988. [P.U. (A) 276/1998] yang berkuatkuasa pada 23 Julai 1998.

4. Apakah Penetapan Premis Menurut Jadual Perintah Perkhidmatan Bomba 1998?

  • Perpustakaan dengan lebih daripada 1000 meter persegi luas lantai.
  • Hospital dan rumah rawatan; samaada 3 tingkat dan lebih di mana setiap kawasan lantai melebihi 250 meter persegi, 5 tingkat dan lebih.
  • Hotel rekabentuk langkan terbuka: 4 tingkat dan lebih 50 bilik; 6 tingkat lebih. Bagi rekabentuk lain; 21 bilik dan lebih.
  • Asrama dan dormitori: 4 tingkat dan lebih dimana setiap kawasan lantai melebihi 250 meter persegi; 6 tingkat dan lebih.
  • Pejabat: ketinggian melebihi 30 meter atau 10,000 meter persegi keluasan jumlah lantai.
  • Kedai: 2001 meter persegi jumlah keluasan lantai.
  • Kilang: Satu tingkat 2001 meter persegi dan terpasang sistem semburan automatik; 2 tingkat dimana setiap lantai dibina sebagai ruang berasingan, pembinaan tunggal atau teres melebihi 1000 meter persegi jumlah keluasan lantai; 3 tingkat dan lebih; Kilang bertingkat pembangunan blok pendekatan langkan terbuka 2 tingkat dan lebih dimana setiap ruang melebhi 7000 meter padu; Struktur khas seperti kompleks kisar sawit, kilang penapis minyak, kerja simen dll, proses berbahaya.
  • Tempat Perhimpunan: Bangunan tanpa centralised aircond 2000 meter persegi dan lebih; Bangunan dengan centralised aircond melebihi 1000 meter persegi atau dengan muatan 1000 orang dan lebih.
  • Storan dan Am: Struktur tempat letak kereta bawah tanah melebihi 1000 meter persegi; lebih daripada 7000 meter padu; 2 tingkat dan lebih dengan lebih daripada 1000 meter persegi keluasan jumlah lantai.

5. Adakah premis yang tiada perakuan bomba menjadi satu kesalahan?
  YA. Jika tiada perakuan bomba, pemunya premis tersebut melakukan suatu kesalahan.

6. Apakah perkara utama akan diperiksa bagi tujuan kelulusan perakuan bomba?
1. Penghuni atau pemunya premis perlu tahu apakah perkara-perkara yang akan diperiksa semasa pemeriksaan dijalankan.

    2. Pemeriksa akan membuat semakan samaada premis tersebut sama dengan pelan arkitektural yang ada dan memastikan tiada ubahan material ke atas premis.

    3. Pemeriksaan dibuat terhadap pelan tindakan kecemasan, rekod penyelenggaraan pepasangan keselamatan kebakaran, rekod penubuhan organisasi keselamatan kebakaran dan keperluan-keperluan lain yang relevan.

240total visits,1visits today

Pin It on Pinterest

Share This