Tanpa Alat Pengesan Asap, 95 Peratus Mangsa Maut Ketika Tidur

alat pengesan asap

Kira-kira 95% daripada 122 mangsa yang maut semasa kebakaran di seluruh Malaysia dari Januari hingga 16 November tahun 2017,  didapati meninggal dunia ketika sedang tidur tanpa alat pengesan asap, kata Penolong Ketua Pengarah (Latihan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Hamdan Wahid.

Kebanyakan penghuni yang maut dalam kebakaran ialah pada pukul 12 tengah malam sehingga pukul 4 pagi yang mana ketika itu mangsa sedang nyenyak tidur katanya.

Hamdan berkata mengikut statistik kematian akibat kebakaran di rumah kediaman dari awal Januari hingga 16 November 2017, juga menunjukkan peningkatan kepada 122 kes kematian direkodkan berbanding tempoh sama tahun 2016 iaitu 80 kes.

“Peratusan ini meningkat akibat kecuaian dan juga kealpaan penghuni kerana mengambil ringan soal keselamatan di dalam rumah dengan tidak menyediakan alat pengesan asap dan juga alat pemadam api di kediaman mereka.

Oleh itu pihak bomba sedang giat melakukan ‘jangkau luar’ untuk menyampaikan maklumat kepada anggota masyarakat dengan memberikan taklimat dan kempen serta memberi alat pengesan asap dan alat pemadam api untuk diletakkan di dalam rumah’,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Kunci Projek Pembinaan Rumah, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), My Beutiful Neighbourhood.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata sekiranya terdapat mana-mana persatuan ataupun komuniti yang berhasrat untuk mendapatkan taklimat mengenai tindakan awal jika berlaku kebakaran, mereka diminta datang ke balai bomba berdekatan dan memohon pihak bomba memberikan taklimat atau ceramah di kawasan kediaman mereka.

Sementara itu, Hamdan berkata sebanyak 180 buah rumah yang terlibat dalam kebakaran telah dibina semula di bawah program pembinaan semula rumah NBOS, My Beutiful Neighbourhood dengan tujuan bagi projek pembinaan semula ini ialah membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah supaya ada tempat untuk berteduh selepas rumah mereka musnah dijilat api.

Tidak semua rumah yang terbakar, pihak bomba akan bina semula tetapi perlulah menepati kriteria yang ditetapkan contohnya seperti di kawasan luar bandar kerana rumah mereka tiada perlindungan insurans berbanding di bandar.

Ini juga adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat pihak bomba kerana rumah ini telah dibina oleh anggota bomba sendiri yang memiliki kepakaran dalam pertukangan tanpa mengambil sebarang upah. Rumah yang dibina semuanya memiliki tiga bilik tidur dan satu ruang tamu serta dua bilik air.  

Pada majlis itu kunci rumah diserahkan kepada Maimunah Husin yang rumahnya di Mukim Si Rusa, Telok Kemang, di sini, terbakar pada April 2017 dan telah dibina semula oleh pihak bomba dalam masa 40 hari. — Bernama 

Sumber : Projekmm
admin

admin

Leave a comment

Sign up for our Newsletter

Be the first one to get our latest news, info, discounts and many more!

error: Content is protected !!
Scroll to Top